Izanoriza

SETIAP SESUATU YANG BERLAKU PASTI ADA HIKMAHNYA

Pendekatan Psikologi Dalam Masalah Pembelajaran

Teori Dan Pendekatan Psikologi Dalam Masalah Pembelajaran

Bahasa Melayu (Ringkasan)

1.0 Pendahuluan

Tajuk ini akan membincangkan berkaitan teori dan pendekatan psikologi dalam masalah pembelajaran Bahasa Melayu Tingkatan Satu. Terdapat banyak teori dan pendekatan psikologi yang boleh diguna pakai oleh guru untuk mengatasi masalah pembelajaran di sekolah. Berikut adalah beberapa teori dan pendekatan psikologi yang sering dikaitkan dalam bidang pendidikan:

  1. A.                Teori Perkembangan Manusia
  2. Teori Psikoanalisis Sigmund Freud
  3. Teori Perkembangan Kognitif Jean Piaget
  4. Teori Perkembangan Psikososial Erikson
  5. Teori Perkembangan Behaviorisme dan Sosial Kognitif
  6. Teori Ethologi Lorenz
  7. Teori Perkembangan Ekologi Bronfenbenner
  8. Teori Perkembangan Pergerakan (Motor) Arnol Gesell
  9. Teori Tugas Perkembangan Robert Havigburst

B.        Teori Pembelajaran

  1. Teori Pembelajaran Behaviorisme

i.         Teori Pelaziman Klasik Pavlov

ii.         Teori Pelaziman Klasik Watson

iii.         Teori Pelaziman Operan Skinner

iv.         Teori Pelaziman Operan Thorndike

  1. Teori Pembelajaran Sosial
  2. Teori Pembelajaran Kognitif
  3. Teori Pembelajaran Gestalt
  4. Teori Pembelajaran Gagne
  5. Teori Pembelajaran Ausubel
  6. Teori Pembelajaran Bruner
  7. Teori Pembelajaran Kontruktivisme
    1. C.       Pendekatan Psikologi
    2. Pendekatan Behaviorisme
    3.  Pendekatan Psikososial
    4.  Pendekatan Humanistik
    5.  Pendekatan Biologi
    6.  Pendekatan Kognitifisme
    7. Teori Pembelajaran Sosial Bandura

 

2.0 Objektif

Di akhir penulisan ini, terdapat dua teori yang boleh di gunapakai atau dipraktikkan oleh guru-guru subjek bahasa Melayu yang menghadapi masalah pembelajaran di kalangan pelajar-pelajar Cina di sekolah. Dalam tajuk ini, penekanan diberikan pada soalan berbentuk penulisan iaitu soalan di dalam Kertas 2 Bahasa Melayu bahagian A(i) iaitu Ringkasan. Terdapat model jawapan ‘ringkasan’ yang mudah difahami oleh pelajar-pelajar yang lemah dalam pengguasaan bahasa Melayu.

 

3.0 Definisi

3.1 Definisi Masalah

Masalah (bahasa Inggeris: problem) kata yang digunakan untuk menggambarkan suatu keadaan yang bersumber dari hubungan antara dua faktor atau lebih yang menghasilkan situasi membinggungkan. Masalah biasanya dianggap sebagai suatu keadaan yang harus diselasaikan. Umumnya masalah disedari ada saat seseorang individu menyedari keadaan yang dihadapi tidak sesuai dengan keadaan yang diinginkan.

3.2 Definisi Pembelajaran

Pembelajaran adalah setiap perubahan perilaku yang relatif kekal terjadi sebagai hasil dari pengalaman. Definisi sebelumnya menyatakan bahawa seorang manusia dapat melihat perubahan terjadi tetapi tidak pembelajaran itu sendiri.

3.3 Definisi Masalah Pembelajaran

Masalah pembelajaran didefinisikan sebagai masalah dalam satu atau lebih daripada proses psikologi melibatkan pemahaman atau penggunaan bahasa sama ada pertuturan atau penulisan di mana masalah yang dihadapi mengakibatkan kebolehan mendengar, berfikir, bertutur dan membaca yang tidak sempurna. Ini tidak termasuk mereka yang bermasalah pembelajaran akibat daripada ketidakupayaan penglihatan, pendengaran dan motor, kerencatan akal, gangguan emosi atau kekurangan dalam persekitaran, budaya atau ekonomi.

The National Joint Committee On Learning Disability (NJCLD,1990) mentakrifkan masalah pembelajaran sebagai merujuk kepada kumpulan masalah yang pelbagai yang mengakibatkan kesukaran yang nyata seperti mendengar, bertutur, membaca, menulis, membuat keputusan atau menyelesaikan masalah matematik. Masalah ini berpunca daripada ketidakfungsian sistem saraf pusat dan boleh berlaku pada bila-bila tahap umur. Masalah mengawal tingkah laku, persepsi dan interaksi sosial mungkin wujud bersama masalah pembelajaran tetapi ia sendiri tidak akan menyebabkan kepada berlakunya masalah pembelajaran. Masalah pembelajaran mungkin wujud seiring dengan ketidakupayaan lain seperti sensori, kerencatan mental atau gangguan emosi.

Secara kesimpulannya, pelajar bermasalah pembelajaran terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan belajar disebabkan oleh masalah pemahaman, pertuturan, penulisan dan penyelesaian masalah matematik. Ini tidak termasuk masalah pembelajaran disebabkan oleh kerencatan mental, kurang upaya penglihatan, pendengaran, gangguan emosi dan tingkah laku.

3.4 Definisi Bahasa Melayu

Selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996, Bahasa Melayu adalah sebagai pelajaran teras di semua sekolah rendah dan menengah. Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan rakyat di Malaysia.

Bahasa Melayu sekolah menengah bertujuan untuk memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani. Kurikulum Bahasa Melayu menyediakan murid untuk menguasai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi dengan menggunakan peraturan tatabahasa secara betul dan tepat.

Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah merangkumi tiga bidang penggunaan bahasa, iaitu Bidang Interpersona, Bidang Maklumat dan Bidang Estetik.Penumpuan pada bidang-bidang ini membolehkan murid menggunakan bahasa Melayu secara berkesan dalam kehidupan harian, bidang pekerjaan dan sebagai bahasa ilmu untuk pembelajaran seumur hidup. Disamping itu, komponen kesusasteraan Melayu diharapkan akan dapat memupuk minat membaca dan melahirkan kenikmatan membaca serta penghayatan terhadap bahan sastera. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu juga memberikan pertimbangan pada pelbagai gaya pembelajaran,minat dan kecerdasan yang berbeza di kalangan murid.

Silibus Bahasa Melayu bagi sekolah menengah rendah terbahagi kepada lima bahagian iaitu:

i.            Sistem Bahasa

ii.            Karangan

iii.            Ringkasan Dan Pemahaman

iv.            KOMSAS (komponen sastera)

v.            Novel

3.5 Ringkasan

Ringkasan adalah salah satu soalan yang wajib dijawab di dalam Kertas 2 Bahasa Melayu bagi pelajar-pelajar menengah rendah. Untuk menjawab soalan ringkasan, pelajar dikehendaki membaca satu petikan dengan teliti dan menulis sebuah ringkasan berdasarkan kata kunci yang diberikan. Kata kunci biasanya diblodkan dalam arahan yang diberikan. Panjang ringkasan yang ditulis mestilah tidak melebihi 80 patah perkataan. Markah yang diperuntukan dalam soalan ini adalah 20 markah daripada 100 markah keseluruhannya.

4.0 Masalah Pembelajaran – Pelajar-Pelajar Berbangsa Cina Lemah Dalam Subjek Bahasa Melayu (Masalah Tidak Mahir Menjawab Soalan Ringkasan)

4.1 Pendahuluan –  Penyataan Masalah

Masalah ini bertumpu kepada pelajar-pelajar Tingkatan 1 Kuning di Sekolah Menengah Notre Dame Convent, Melaka. Pelajar-pelajar ini terdiri daripada lebih kurang 35 orang di mana kesemuanya adalah perempuan dan berbangsa Cina. Mereka ini datangnya dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) sekitar Bandar Melaka. Pelajar-pelajar ini adalah kelas ke-4 daripada tujuh buah kelas di mana pelajar-pelajar telah disusun mengikut pencapaian mereka di dalam peperiksaan UPSR. Majoriti di dalam kelas ini mendapat 1A (pelbagai subjek) dalam peperiksaan UPSR. Daripada penjelasan di atas, pelajar-pelajar ini berada di tahap pertengahan di samping lemah dalam memahami bahasa Melayu secara keseluruhannya.

4.2  Faktor-Faktor Pelajar-Pelajar Cina Lemah Menjawab Ringkasan

4.2.1    Sikap pelajar

Pelajar-pelajar Cina menganggap bahasa Melayu tidak penting dan sangat susah untuk difahami. Perkara ini tersemat di dalam fikiran mereka kerana kurangnya pendedahan tentang kepentingan penggunaan bahasa Melayu dalam  kehidupan mereka. Sikap pelajar juga agak malas dan tidak bersungguh-sungguh dalam membuat latihan yang diberikan. Sikap meniru latihan daripada rakan-rakan akan menambahkan kesulitan dalam menguasai subjek bahasa Melayu. Sikap malu bertanya kepada guru tentang sesuatu yang tidak difahami turut menyumbang kepada permasalahan ini. Antara sebab mereka malu bertanya adalah kerana tidak boleh bertutur dengan baik dan bimbang guru tidak faham apa yang ingin mereka sampaikan. Maka, masalah yang dihadapi tidak akan dapat dibantu oleh guru dan semakin lama, ketidakfahaman mereka bertambah buruk. Sikap malas membaca bahan-bahan penulisan seperti surat khabar, majalah, novel dan cerpen dalam bahasa Melayu juga antara punca pelajar-pelajar Cina lemah dalam menguasai bahasa Melayu.

4.2.2        Persekitaran

Jika diambil sejarah pembelajaran Bahasa Melayu, pelajar-pelajar ini hanya didedahkan dengan penggunaan Bahasa Melayu hanya dalam subjek Bahasa Melayu. Kebanyakan subjek sekolah rendah di SRJKC seperti Matematik, Sains dan Pendidikan Moral menggunakan bahasa ibunda mereka iaitu bahasa Cina sebagai bahasa pengantar. Guru-guru bertutur dengan menggunakan bahasa Cina semasa proses P&P kerana bahasa ini lebih mudah difahami oleh pelajar-pelajar.

Selain itu, hampir 95% percakapan atau pertuturan mereka di sekolah menggunakan bahasa Cina sama ada semasa berkomunikasi dengan guru-guru atau rakan-rakan yang sebangsa dengan mereka. Mereka hanya berkomunikasi dalam bahasa melayu semasa proses P&P subjek bahasa Melayu di dalam kelas. Itu pun tidak semua pelajar memainkan peranan aktif semasa P&P bahasa Melayu dijalankan. Ini disebabkan oleh ada juga pelajar yang hanya berdiam diri dan tidak mahu belajar menguasai apa yang disampaikan oleh guru. Kemungkinan juga pelajar-pelajar bertindak sebegitu kerana mereka tidak faham apa yang disampaikan oleh guru.

Di samping itu juga, pelajar-pelajar ini sering menggunakan bahasa Cina untuk berkomunikasi dengan ahli keluarga di rumah dan dengan rakan-rakan sepermainan di kawasan perumahan berhampiran. Ibu bapa juga kurang menekankan kepada anak-anak tentang kepentingan bahasa Melayu dalam kehidupan mereka pada masa akan datang di mana mereka akan berinteraksi dalam bahasa Melayu bagi kebanyakan urusan apabila besar nanti. Tambahan pula, pelajar-pelajar Cina hanya berminat menonton televisyen yang menayangkan drama atau filem dalam bahasa Cina berbanding bahasa lain. Keadaan ini berlaku kerana mereka tidak faham isi cerita yang disampaikan dalam bahasa lain selain daripada bahasa Cina.

Justeru itu, jelas bahawa persekitaran amat mempengaruhi kelemahan penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar-pelajar berbangsa Cina. Bahasa Cina menjadi sebati dalam jiwa anak-anak ini disebabkan kekerapan menggunakannya dalam kehidupan seharian mereka.

 

 

4.3  Teori dan Pendekatan Psikologi

Dalam menyelesaikan masalah untuk menjawab soalan ringkasan ini, dua teori dicadangkan untuk mengatasinya iaitu Teori Perkembangan Kognitif Jean Piaget untuk menyelesaikan masalah sikap pelajar dan Teori Pelaziman Operan Skinner untuk mengatasi masalah persekitaran. Sebelum permasalahan pelajar dikaitkan dengan teori-teori ini, kita akan mengenal pasti fakta-fakta penting yang terdapat di dalam teori-teori ini seperti yang telah dikaji oleh ahli-ahli psikologinya.

4.3.1        Teori Perkembangan Kognitif Jean Piaget.

Teori ini diperkenalkan oleh seorang ahli psikologi kanak-kanak iaitu Jean Piaget (1896-1980). Berasaskan pemerhatian beliau yang sistematik ke atas tiga orang anaknya, beliau mengaplikasikan prinsip dan metod biologi di dalam mengkaji perkembangan manusia Menurut Piaget, kanak-kanak aktif membentuk kefahaman terhadap persekitaran melalui empat tahap perkembangan kognitif. Dua proses penting di dalam membina kefahaman ialah organisasi dan adaptasi. Contohnya, kebolehan kita memisahkan antara idea yang utama dengan idea yang kurang penting dan kebolehan kita untuk membandingkannya.

Menurutnya, kita bukan sahaja mengorganisasikan segala pemerhatian dan pengalaman, tetapi kita juga mengadapatasikan pemikiran kita dengan memasukkan idea baru bagi menambahkan lagi kefahaman terhadap sesuatu perkara. Piaget (1954), percaya proses adaptasi dilakukan dengan dua cara iaitu melalui proses asimilasi dan proses akomodasi. Asimilasi bererti menambah maklumat baru atau memperkaya struktur kognitif yang telah sedia ada. Manakala, akomodasi bermaksud mengubahsuai skemata yang telah sedia ada untuk memahami maklumat baru.

Piaget percaya perkembangan berlaku dalam tahap-tahap perubahan melalui equilibration (penyeimbangan), keadaan yang menyebabkan kanak-kanak mencari suatu keseimbangan di antara apa yang di alami dalam persekitaran dengan proses dan struktur kognitif yang sedia ada. Equilibration melibatkan tiga proses. Proses pertama, kanak-kanak dikatakan berada dalam keseimbangan apabila skema dan tahap pemikirannya cukup sesuai atau adaptasi dengan persekitaran. Proses kedua, kanak-kanak diberikan informasi yang tidak sesuai dengan skema yang sedia ada. Oleh itu, ketidakseimbangan kognitif muncul dan mereka kurang menghadapi cabaran-cabaran baru. Jadi, kanak-kanak cuba untuk mengembalikan keseimbangan melalui asimilasi, keadaan dimana informasi baru diserap dalam skema kanak-kanak yang sedia ada. Proses ketiga, Piaget mencadangkan akomodasi iaitu mengubah skema yang tersedia untuk disesuaikan dengan informasi baru yang relevan tentang persekitaran. Dengan itu, tahap pemikiran yang lebih tinggi akan wujud. Justeru, proses-proses ini akan mengakibatkan tahap keseimbangan yang kukuh kepada individu, iaitu tahap penyesuaian yang tinggi.

4.3.2        Teori Pelaziman Operan Skinner

Teori ini diperkenalkan oleh B.F Skinner (1904-1990) menyatakan bahawa perlakuan harus diperhatikan di dalam jangka masa yang panjang dan membentuk perlakuan yang kompleks daripada perlakuan yang mudah. Skinner banyak menjalankan kajian dengan menggunakan binatang seperti tikus dan burung merpati. Beliau menghasilkan “Skinner Box” di mana tingkah laku binatang di dalam kotak tersebut boleh dikawal dan gerak balasnya dihitung. Teori ini membawa beliau kepada penggunaan teori pelaziman operan di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Skinner mengatakan jika pelajar menerima sesuatu gerak balas yang memuaskan setelah  sesuatu tingkah laku dipamerkan itu dinamakan peneguhan. Peneguhan adalah perkara yang dilakukan untuk menggalakkan sesuatu perlakuan itu diulangi atau tidak diulangi. Peneguhan diberikan untuk pertamanya, memuaskan kehendak; keduanya, mengurangkan tekanan dan merangsang otak. Skinner membahagikan peneguhan kepada dua jenis, iaitu peneguhan positif (ganjaran)  untuk mengulangi perlakuan dan peneguhan negatif (dendaan) untuk tidak mengulangi perlakuan. Terdapat pelbagai jenis peneguhan positif dan ini termasuk peneguhan konkrit (makanan, alat permainan, setem, pelekat), peneguhan social (senyuman, perhatian, pujian, penghargaan) dan peneguh aktiviti (aktiviti yang disukai).

Pelaziman operan hanya boleh berlaku dengan tiga syarat:

i.      Individu mesti membuat tindak balas

ii.      Suatu peneguhan mesti mengikuti gerak balas

iii.      Peneguhan mesti diberi hanya apabila gerak balas telah berlaku

4.4     Cadangan Penyelesaian Masalah Berdasarkan Teori Psikologi

4.4.1             Sikap Pelajar- Teori Perkembangan Kognitif Jean Piaget

Dalam mengatasi masalah pembelajaran iaitu berhadapan dengan sikap pelajar yang dikatakan agak malas berusaha atau tidak ambil peduli dalam menguasai bahasa Melayu, Teori Perkembangan Kognitif Jean Piaget diaplikasikan. Melalui teori ini, guru mestilah bertindak sebagai pemudah cara untuk menyelesaikan masalah menjawab soalan ringkasan ini. Dengan menggunakan teori ini, guru mestilah membentuk keseimbangan kepada pelajar dengan mengajar satu cara termudah menjawab soalan. Kemudian memberikan beberapa contoh soalan ringkasan yang lain di mana mewujudkan ketidakseimbangan dalam memahami soalan. Dalam ketidakseimbangan pelajar-pelajar memahami soalan berikutnya ini akan menyebabkan pelajar menyerap maklumat baru dan menyesuaikan dengan cara mencari isi-isi penting Lantas guru juga mesti mengajar murid mengasimilasikan cara mencari isi-isi penting dengan merujuk jadual. Jadual 1.0 berikut menunjukkan padanan kata kunci dan isi-isi penting dalam petikan. Kata kunci daripada soalan yang diberikan adalah panduan utama kepada pelajar mencari isi-isi penting. Daripada kata kunci yang telah dikenal pasti, pelajar-pelajar akan dapat mencari isi-isi penting di dalam petikan dengan mudah.

Kata kunci Isi-isi penting (ayat-ayat dalam petikan dimulai dengan perkataan berikut)
Punca-punca, sebab-sebab, faktor-faktor oleh, dari
Kesan-kesan, akibat-akibat akan,
Faedah-faedah, kebaikan dapat, untuk
Langkah-langkah boleh, perlu, harus, mesti

Jadual1.0: Kata kunci dan pemulaan ayat dalam petikan

Selepas mengenal pasti isi-isi penting di dalam petikan, pelajar-pelajar hendaklah menggariskan  isi-isi penting itu. Pelajar harus mencari sekurang-kurangnya lima isi penting berdasarkan kata kunci untuk merangka penulisan ringkasan. Kelima-lima isi penting itu nanti akan diolah dalam bentuk penulisan ringkasan dan ditambah dengan penggunaan penanda wacana untuk menjadikan ayat lebih gramatis.

Masalah pelajar seterusnya adalah tidak tahu bagaimana mahu memulakan penulisan ringkasan mengikut format yang betul. Kurangnya latihan menjawab soalan berbentuk ringkasan ini akan menyebabkan pelajar-pelajar tidak mahir dalam menulis ringkasan. Mengikut skema jawapan yang telah digariskan dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), penulisan ringkasan mestilah dimulai dengan menjurus kepada kata kunci yang diberikan seperti yang telah dihitankan di dalam arahan soalan.

Kemudian, dengan mengetahui punca utama pelajar tidak dapat memulakan penulisan ringkasan mereka, guru telah membuat satu model ringkasan yang boleh diguna pakai untuk semua soalan ringkasan. Dalam model ringkasan ini, hanya tajuk dan isi-isi penting sahaja yang berubah-ubah mengikut soalan ringkasan yang diberikan, manakala perkataan lain boleh diguna pakai dalam mana-mana soalan ringkasan. Dengan model ini, pelajar-pelajar telah ada satu keseimbangan di mana mereka boleh terus menulis ringkasan berdasarkan isi-isi penting yang telah digariskan tadi. Mereka dengan mudah memahami cara-cara menjawab ringkasan berdasarkan panduan yang telah diberikan oleh guru di mana cara itu amat sesuai dengan soalan yang diberikan.

Oleh itu, pelajar telah membentuk suatu pengetahuan sedia ada (keseimbangan) dan boleh mengorganisasikan isi-isi penting itu di dalam penulisan ringkasan. Tetapi apabila mereka dikehendaki menjawab soalan ringkasan lain dan mempunyai kata kunci yang berbeza, maka wujud ketidakseimbangan di mana cara-cara mengenal pasti isi-isi penting dalam soalan kedua adalah berbeza dengan soalan ringkasan sebelumnya. Akibatnya pelajar tidak boleh menjawab soalan itu berpandukan soalan sebelumnya kerana perbezaan kata kunci dalam soalan. Seterusnya pelajar harus merujuk semula di dalam jadual yang telah diberikan oleh guru untuk mengenal pasti isi-isi penting yang perlu dicari berdasarkan kata kunci yang baru. Dengan merujuk semula jadual itu, informasi baru akan diserap dalam skema pelajar yang telah sedia ada yang di panggil proses asimilasi. Dengan itu, pelajar itu telah manambah dan memperkayakan cara mencari isi-isi penting berdasarkan kata-kata kunci daripada soalan ringkasan yang diberikan. Dengan ini pelajar telah cuba menyesuaikan kata kunci dengan jawapan yang bakal dicari di dalam petikan baru itu tadi. Lantas, informasi  yang baru diserap itu diubah (akomodasi) mengikut kesesuaian dalam soalan ringkasan yang kedua itu dan pelajar boleh mencari isi-isi penting seperti yang dilakukan dalam soalan pertama tadi.

Proses menjawab soalan ringkasan yang berulang kali yang berlainan kata kuncinya, akan mengakibatkan tahap keseimbangan yang kukuh kepada pelajar itu iaitu pelajar mempunyai pengetahuan yang tinggi untuk menjawab soalan ringkasan tanpa mengira kata kuncinya yang diberikan. Pada tahap ini pelajar-pelajar telah berjaya mengatasi masalah pembelajaran mereka tentang penulisan ringkasan.

 Antara………… (tajuk ringkasan)……….. adalah ……… ( isi 1 ) ……… Selain itu, ………( isi 2 ) ………… Tambahan pula, ………

( isi 3 ) ………. Di samping itu …………(  isi 4 )………. Malahan,………… (   isi 5  )……………

Berikut adalah model ringkasan:

*Sila lihat contoh soalan ringkasan dalam lampiran 1

4.4.2        Persekitaran –Teori Pelaziman Operan Skinner

Dalam mengatasai masalah pembelajaran yang melibatkan persekitaran ini, guru boleh menggunakan Teori Pelaziman Operan Skinner. Dalam masalah ini pelajar dikenal pasti kurang mempraktikkan percakapan seharian dalam bahasa Melayu yang menjadi punca utama mereka lemah dalam  penguasaan bahasa Melayu.

Mengikut teori pelaziman operan, mencadangkan bahawa pelajar akan belajar hanya apabila mereka membuat gerak balas yang aktif dan nyata di dalam bilik darjah. Untuk mengaplikasikan teori ini, maka semasa proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di mana soalan ringkasan di buat bersama-sama guru di dalam kelas, guru boleh mempraktikkannya. Berpandukan pada soalan ringkasan itu, guru boleh memberikan masa tertentu supaya pelajar dapat menggariskan isi-isi penting dalam petikan. Kemudian guru boleh meminta pelajar secara suka rela membacakan isi penting yang telah digariskan.

Menurut huraian Skinner di dalam buku Psikologi Pendidikan untuk Pengajaran dan Pembelajaran yang ditulis oleh Mok Soon Sang, beliau menghuraikan bahawa tingkah laku operan seperti ini merupakan gerak balas yang dihasilkan pada diri sendiri (seperti kajiannya terhadap tikus). Oleh itu, pembelajaran jenis ini merupakan pembelajaran secara aktif kerana pembelajaran yang berlaku berdasarkan inisiatif diri sendiri.

Seterusnya, guru memberi peluang kepada pelajar untuk menulis isi-isi penting yang mereka dapat di papan putih. Pelajar-pelajar di minta secara suka rela tampil ke hadapan kelas untuk menulis isi-isi penting yang telah mereka dapat. Setelah siap ringkasan yang ditulis oleh pelajar di papan putih, guru memeriksa dan membetulkan jika terdapat kesilapan. Pelajar yang telah menulis isi penting yang betul diberikan pujian oleh guru dan tepukan oleh rakan-rakanya. Pujian dan tepukan mestilah diberikan sejurus selepas guru memeriksa ringkasan yang ditulis oleh pelajar-pelajar itu. Dengan peneguhan positif seperti itu akan menggalakkan pelajar itu dan rakan- rakannya yang lain berani tampil untuk membaca isi penting dan menulis ringkasan di papan putih. Bagi pelajar yang telah menulis isi penting yang kurang tepat tidak dikenakan dendaan sebaliknya mereka hanya perlu menyalin semula jawapan rakan-rakan yang betul.

Sebagai guru, kita tidak perlu menggunakan peneguhan negatif (dendaan) dalam situasi ini. Penggunaan peneguhan negatif tidak digalakkan digunakan secara kerap apatah lagi dalam keadaan yang tidak serius atau pelajar  hanya melakukan kesalahan kecil. Peneguhan negatif lazimnya mempunyai kesan tidak baik ke atas tingkah laku pelajar itu kemudian hari nanti.

4.5   Penutup

Kadang kala keadaan dan suasana bilik darjah atau sekolah juga menimbulkan keadaan yang kurang selesa kepada pelajar-pelajar. Malahan, ini turut menyebabkan pelajar bertingkah laku negatif kepada proses pembelajaran mereka. Antara contohnya ialah bilangan pelajar dalam kelas terlalu ramai, alat kelengkapan tidak mencukupi, suasana di dalam kelas tidak teraputik, alat bantu mengajar tidak mencukupi, gangguan dari luar, dan keadaan sekolah yang kurang dari segi kemudahan asas. Kesemua ini boleh menimbulkan kegelisahan dan mengganggu kelancaran perjalanan P&P di dalam kelas. Oleh itu, pendapat-pendapat dan kajian daripada tokoh terkenal boleh dijadikan panduan oleh pihak sekolah untuk merancang strategi-strategi untuk meningkatkan lagi keberkesanan mengatasi tingkah laku bermasalah dan prestasi murid-murid dan akademik di sekolah.

Sebagai guru, kita mestilah menunaikan tanggungjawab yang diberikan sebaiknya kerana itu adalah amanah daripada Allah. Guru mestilah menunjukkan keghairahan dalam proses P&P kerana aura positif ini boleh mempengaruhi pelajar-pelajar kita agar mereka berminat untuk belajar. Selain itu, guru juga harus menunjukkan sikap kasih saying dan berperikemanusiaan supaya pelajar-pelajar merasakan diri mereka diterima dan dihargai.

Sebagai guru yang berdedikasi, kita seharusnya memberikan peluang kepada pelajar-pelajar kita menyuarakan pendapat atau permasalahan mereka. Kita mesti membantu mereka dengan memberikan sokongan dan panduan agar mereka boleh mengatasi masalah pembelajaran dengan betul dan berkesan. Guru yang baik juga perlu mengamalkan sikap memberikan ganjaran atau peneguhan setiap kali pelajar memberikan tindak balas yang diingini semasa proses P&P. Galakan dan motivasi juga sangat diperlukan untuk mengatasi masalah pembelajaran di kalangan pelajar-pelajar.

Slide show powerpoint

TEORI DAN PENDEKATAN PSIKOLOGI

 

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: