Izanoriza

SETIAP SESUATU YANG BERLAKU PASTI ADA HIKMAHNYA

Sistem Pendidikan Sebelum Kedatangan British

Pendidikan sebelum kedatangan British banyak dipengaruhi oleh adat resam dan budaya masyarakat setempat. Pendidikan tradisional ini lazimnya diajar oleh ahli agama atau ibu bapa kanak-kanak dalam membentuk perkembangan mereka. Pendidikan pada zaman ini terbahagi kepada lima iaitu:

  1. pendidikan agama
  2. madrasah
  3. pendidikan tidak formal
  4. pendidikan istana
  5. penglipur lara.

Pendidikan agama

Mulai kurun ke-15 hingga kurun ke-17, orang Melayu telah mula mendapat pendidikan agama. Pendidikan agama disampaikan oleh guru-guru al-Quran di kampong-kampung. Selain itu, pendidikan agama juga disampaikan oleh mereka yang berketurunan Sayyid. Sebahagian besar daripada guru agama ini mengajar menyampaikan pengajarannya di surau atau masjid. Pada masa yang sama, guru agama itu menjadi imam kampong di mana dia menyampaikan pendidikan agama. Mereka mengajar perkara-perkara seperti kira-mengira, menulis Jawi, tajwid, fardu ain, rukun Islam dan rukun Iman. Dalam sehari muris-mrid belajar tiga pelajaran yang mengambil masa sejam bagi setiap pelajaran. Pelajaran pertama disampaikan di sebelah pagi iaitu selepas sembahyang subuh, satu lagi selepas sembahyang zohor dan satu lagi pelajaran pada sebelah petang. Seseorang murid akan memulakan pelajaran dengan mengulangi perkataan-perkataan Arab yang didengar pada awal pagi dan akhir bacaan al-Quran. Apabils telah mahir dengan hafazan itu, dia akan dapat membaca al-Quran dan doa-doa yang membolehkannya bersembahyang. Pelajar tidak dikenakan apa-apa bayaran, Sebaliknya, pelajar membantu guru membersihkan tempat mereka belajar, mengambil air, kayu api dan membantu mengerjakan sawah. Segala urusan ini dijalankan di antara waktu pelajaran. Urusan-urusan seperti ini dapat membina kemahiran hidup bagi pelajar-pelajar berkenaan.

Pada kurun ke-18, pendidikan agama telah meningkat maju kerana penghijrahan beberapa orang alim ulama dari Timur Tengah. Contohnya, Syarif Muhammad yang berasal dari Baghdad telah mengasaskan sekolah agama di Kuala Terengganu. Ketika berlaku kekacauan di Patani, lebih ramai lagi alim ulama berpindah ke Terengganu dan Kelantan.

Menjelang kurun ke-19, sekolah-sekolah pondok atau sekolah Arab telah di bina di merata temoat di Tanah Melayu. Kedah, Perak, Kelanatan dan Pulau Pinang merupakan tempat-tempat di mana terdapat banyak sekolah pondok muncul.

Madrasah

Madrasah merupakan sekolah agama yang moden. Institusi ini lebih kemas dan teratur. Madrasah menyampaikan pelajaran yang menekankan ajaran-ajaran reformis dari Asia Barat.

Menurut Khoo Kay Kim, mata pelajaran latihan vokasional juga dikendalikan. Mata pelajaran seperti perdagangan, kira-kira dan cara tanaman padi serta membuat sabun juga diajar di madrasah. Walau bagaimanapun, tumpuan pelajaran di kebanyakan madrasah ialah pada pengajaran agama Islam.

Taraf pendidikan di sesetengah madrasah adalah tinggi seperti di Madrasah al-Masyhur,Pulau Pinang dan Madrasah di Kota Bharu. Para lulusan dari madrasah-madrasah tersebut boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti seperti Universiti al-Azhar, Mesir atau Masjidil-Haram, Makkah.

Pendidikan Tidak Formal

Pendidikan formal berlaku secara tidak langsung. Dalam kehidupan seharian, anak-anak terpaksa membantu ibu bapa dalam pelbagai tugasan sama ada di kebun atau di rumah. Dalam pada itu, mereka mempelajari kemahiran membuat atau membaiki alat-alat pertanian daripada ibu bapa atau orang kampong yang lebih tua.

Selain itu, mereka juga berpeluang mempelajari kemahiran dalam kraftangan seperti membuat bakul, ukiran kayu, atau logam. Kebanyakan kemahiran ini diperoleh kerana kanak-kanak membantu dan memerhati bagaimana sesuatu hasil itu dikendalikan.

Golongan muda juga mempelajari seni mempertahankan diri dan segelintir antara mereka mempelajari ilmu sihir.

Pendidikan Istana

Menurut Sejarah Melayu, mulai kurun ke-15, pendidikan agama Islam mula dipelajari oleh golongan istana. Lazimnya sultan akan menyediakan satu ruangan di istana bagi membolehkan pengajaran agama Islam disampaikan.

Tokoh-tokoh agama yang menyampaikan pengajaran di istana juga digalakkan menterjemah buku-buku bahasa Arab kepada bahasa Melayu dengan menggunakan tulisan Jawi. Bahasa pengantar yang digunakan oleh guru-guru tersebut ialah bahasa Melayu kerana kebanyakan kitab dalam bahasa Arab telahpun ditermahkan ke bahasa Melayu. Walaubagaimanapun, bahasa Arab juga diajar.

Penglipur Lara

Pada zaman dahulu, seseorang pencerita yang mahir dikenali sebagai penglipur lara. Dia berupaya bercerita sehingga Berjaya menarik minat ramai pendengar tetapi ramai daripada mereka adalah buta huruf. Lantaran itu, cerita-cerita mereka hanya disampaikan dalam bentuk tulisan.

Penglipur lara memperoleh koleksi cerita daripada ibu bapanya dan dia menceritakan semula kepada anak-anaknya atau kanak-kanak lain. Melalui cara ini, cerita-cerita itu disampaikan dari satu generasi ke satu generasi yang lain.

Cerita-cerita yang disampaikan terdiri daripada pelbagai jenis. Ada yang mengisahkan raja,pahlawan terkenal dan haiwan. Unsur-unsur dongeng diserapkan ke dalam sesetengah cerita tersebut. Selain itu, penyerapan nilai-nilai murni ke dalam cerita-cerita bertujuan mempengaruhi tingkah laku pendengarnya.

SISTEM PENDIDIKAN ZAMAN BRITISH

Sekolah Agama

Pada zaman British, sekolah agama terus berfungsi tanpa sebarang campur tangan. Ini kerana pihak British tidak ingin campur tangan dalam hal-hal agama dan adat resam orang-orang Melayu. Dengan itu, pihak British tidak terlibat dalam pengelolaan dan pengendalian sekolah-sekolah agama.

Sekolah agama yang ditubuhkan pada zaman British adalah lebih kemas pengelolaannya. Sekolah ini lebih dikenali sebagai madrasah atau sekolah agama yang moden. Ia dipelopori oleh golongan muda. Kurikulum sekolah agama moden ini merangkumi ilmu keduniaan dan ilmu akhirat. Madrasah banyak ditubuhkan di Kelantan, Kedah dan Terengganu. Sekolah-sekolah agama moden seperti ini dapat menandingi sekolah-sekolah Melayu yang disediakan oleh pihak British. Ini kerana mutu pendidikan yang disediakan oleh sesetengah sekolah agama moden ini baik. Ini terbukti apabila pelajar-pelajar lepasan sekolah-sekolah agama itu dapat meneruskan pelajaran di Universiti al-Azhar di Mesir dan university-universiti lain di Asia Barat.

Sekolah Pondok

Sistem pendidikan pondok didapati lebih tersusun dan teratur jika dibandingkan dengan pendidikan agama di rumah atau surau. Pada awal kurun ke-19, sekolah pondok banyak didirikan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Perkataan ‘pondok’ sebenarnya berasal daripada perkataan Arab yang bermakna rumah-rumah kecil tempat tinggal pelajar-pelajar. Akan tetapi di Tanah Melayu, pondok membawa makna sebuah institusi pendidikan agama Islam bersendirian serta mempunyai asrama. Pendidikan pondok akan bermula sebaik sahaja tibanya seorang tuan guru atau alim ulama dari luar. Guru itu berhasrat untuk meyampaikan ilmu agama kepada orang kampong terutamanya kaum petani. Sebahagian besar daripada guru pondok merupakan individu yang berpengaruh dan biasanya mereka menyampaikan pelajaran secara suka rela. Orang kampong akan bekerjasama untuk menyediakan rumah tuan guru dan pondok untuk pelajar-pelajar. Pondok itu lazimnya dibina berdekatan dengan rumah tuan guru.

Di sekolah pondok, pelajr-pelajar duduk secara bersila di atas lantai. Meja dan kerusi tidak disediakan. Mata pelajaran yang di ajar di sekolah pondok termasuk Hadis, Tasawuf, Fiqh, Tauhid, Tafsir dan doa-doa yang bersabit dengan kehidupan seharian. Selain itu, bahasa Arab dan tulisan Jawi juga diajar. Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar kerana kitab bahasa Arab telahpun diterjemahkan ke bahasa Melayu. Tempoh bagi mengikuti pelajaran di sekolah pondok tidak terhad. Ada antara pelajar yang mengambil masa sehingga sepuluh tahun. Matlamat sebenar sekolah pondok ialah untuk melahirkan individu yang arif tentang hokum-hukum agama, tahu beribadat dengan betul dan bermoral tinggi.

Sekolah Vernakular

Sepertimana yang telah disebutkan, dasar pemerintahan British di Tanah Melayu ialah ‘pecah dan perintah’. Dengan itu sikap seperti ini menyebabkan empat lagi sistem persekolahan wujud, selain daripada sekolah agama. Sistem-sistem persekolahan tersebut ialah sekolah vernakular Melayu, sekolah vernakular Cina, sekolah vernakular Tamil dan sekolah Inggeris. Selain daripada sikap pihak British, juga tidak terdapat satu dasar pelajaran kebangsaan pada masa itu. Sikap kedaerahan yang diwarisi setiap kaum juga mendorong sistem persekolahan yang berlainan. Sekolah vernakular bermakna sekolah yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran.

1.0  Sekolah Melayu

Pada tahun 1854, Gabenor Jeneral di India menghantar perutusan Jemaah Pengarah melawat Negeri-negeri Selat untuk membuat laporan pendidikan di negeri-negeri tersebut. Pada tahun 1855, sebuah sekolah Melayu telah didirikan di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Pada tahun berikutnya,iaitu pada tahun 1856, dua buah sekolah lagi dibuka, iaitu di Teluk Belangah dan Kampung Gelam Singapura. Sekolah di Teluk Belangah, kemudiannya dijadikan maktab perguruan bagi guru-guru sekolah Melayu. Sekolah di Kampung Gelam pula berubah menjadi sekolah Quran sehingga disusun semula. Pada tahun 1963, tiga buah sekolah Melayu telah didirikan di Seberang Perai, iaitu di Penaga, Permatang Pauh dan Bukit Tambun. Pada tahun 1868, kedua-dua sekolah di Penaga dan Permatang pauh ditutup, manakala sekolah di Bukit Tambun dijadikan sekolah Inggeris.

Sekolah-sekolah Melayu yang didirikan di Melaka berjalan terus sehingga disusun semula oleh nazir sekolah-sekolah selepas tahun 1872. Sekolah Melayu lebih Berjaya di Melaka kerana hamper semua penduduknya terdiri daripada orang Melayu dan juga kerana guru Melayu mudah didapati. Pada tahun 1871, A.M Skinner telah memulakan sekolah-sekolah Melayu berdasarkan kelas Quran dalam satu percubaan. Di sekolah pagi, pelajaran biasanya dijalankan, manakala pelajaran agana Islam diajar pada sebelah petang.

Mata pelajaran yang dipelajari ialah Bacaan, Mengarang, Ejaan, Menulis,Ilmu Hisab, Ilmu Alam dan Latihan Jasmani. Mulai abad ke-20, pekebunan dan anyaman diperkenalkan. Ini berikutan cadangan laporan oleh Winstedt pada tahun 1917. Guru-guru pelajaran biasanya dibiayai dan ini menyebabkan lima buah lagi sekolah Melayu didirikan. Dengan itu, Skinner telah dilantik sebagai Nazir Sekolah-sekolah.

Bagi kanak-kanak perempuan Melayu, sekolah pertama didirikan di Teluk Belangah pada 1884. Sebuah lagi sekolah perempuan Melayu didirikan di Pulau Pinang pada tahun1889. Satu masalah utama yang dihadapi ialah kekurangan guru-guru perempuan. Pendidikan untuk perempuan Melayu mula bertambah baik setelah tamat Perang Dunia Pertama.

Bagi menyediakan guru-guru Melayu, R.J. Wilkinson telah menubuhkan sebuah maktab perguruan di Melaka pada tahun 1907. Kursus perguruan selama dua tahun diadakan untuk guru-guru Melayu lelaki dari Negeri-negeri Selat.

Pada tahun 1913, sebuah lagi maktab didirikan di Matang,Perak. Walau bagaimanapun, kedua-dua maktab ini ditutup kemudiannya. Bagi menggantikan maktab-maktab tersebut, Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim( yang sekarang dikenali sebagai Univesiti Pendidikan Sultan Idris atau UPSI) telah didirikan pada tahun 1922. Kursus perguruan selama tiga tahun itu terdiri daripada empat bahagian iaitu bahagian akademik, pekebunan, pertukangan tangan dan membuat bakul serta teori dan latihan mengajar. Pendidikan Agama Islam diajar dua jam seminggu. Bahasa pengantar yang digunakan ialah bahasa Melayu.

Maktab Perguruan Perempuan Melayu di Melaka dimulakan pada tahun 1935. Tempoh kursus perguruan ialah dua tahun pada mulanya, tetapi berubah menjadi tiga tahun. Pelatih-pelatih maktab tersebut dating dari Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Walau bagaimanapun, sekolah Melayu terpaksa menghadapi pelbagai masalah pada mulanya kerana kepentingan pendidikan kurang disedari. Lagipun, jawatan-jawatan bagi calon yang tamat sekolah Melayu berpendapatan rendah berbanding dengan berkelulusan Inggeris. Dasar pentadbiran Inggeris memanglah untuk mendidik anak-anak Melayu supaya terus duduk di kampong. Pentadbir Inggeris juga bimbang bahawa meraka yang berpendidikan Inggeris akan bercita-cita tinggi serta akan timbul kesedaran politik dan hak-haknya.

Dengan menggunakan dasar pecah dan perintah di kalangan orang Melayu, sebuah sekolah raja yang berasrama penuh di bina di Selangor pada tahun 1890. Sekolah ini hanya dibuka kepada anak-anak raja sahaja. Empat tahun kemudian sekolah ini terpaksa ditutup. Pada tahun 1905, Maktab Melayu Kuala Kangsar ditubuhkan.

Dengan ini jelas, dasar pentadbiran Inggeris ialah untuk menjaga kepentingan mereka sendiri. Pendidikan yang dibekalkan adalah setakat empat tahun sahaja, kecuali di tahap latihan perguruan. Orang Melayu tidak digalakkan ke Bandar dan dengan itu, cuba memisahkan orang Melayu daripada kemajuan perbandaran dan perindustrian. Dasar pendidikan seperti ini menimbulkan pelbagai masalah sosioekonomi sehingga terdapat jurang yang besar antara golongan kaya dan miskin.

2.0  Sekolah Cina

Orang Cina ramai di lombong-lombong bijih timah di Perak dan Selangor. Ramai juga terdapat di Negeri-negeri Selat sebagai peniaga. Sekolah cina pertama dimulakan di Melaka pada tahun 1815 oleh sekumpulan mubaligh dari Persatuan Mubaligh London. Pengajaran bahasa Cina dibuka oleh individu Cina, persatuan Cina daerah, persatuan suku kaum dan jabatan pentadbir. Individu dan persatuan-persatuan tersebut memberikan derma bulanan. Dalam hal pembinaan sekolah Cina, pentadbiran Inggeris bersikap tidak mahu campur tangan, malahan menentang keras pembiayaan untuk pembinaan sekolah Cina. Kurikulum sekolah berbentuk klasik lama. Murid-murid juga mempelajari kaligrafi (tulisan tangan yang cantik) dan kira-kira. Biasanya rumah digunakan sebagai sekolah. Dialek tempatan digunakan sebagai bahasa pengantar.

Sejak tahun 1901, sekolah-sekolah Cina mula mendapat bantuan kewangan dari negera China di bawah pemerintahan Manchu. Guru-guru juga dibawa dari Negara China. Kurikulum baru dimulakan. Pelajar-pelajar belajar teks klasik lama, Sejarah, Ilmu Alam, Sains, Pendidikan Moral, Bahasa Cina, Nyanyian, Latihan Jasmani dan Lukisan. Apabila tertubuhnya Republik Rakyat China pada tahun 1911, kerajaan tersebut member bantuan kewangan pada sekolah-sekolah Cina di Negara ini. Ideologinya terus diserapkan ke dalam kurikulum sekolah-sekolah Cina.

Pada tahun 1914 dan 1915, wakil-wakil dari Negara China dihantar untuk melawat sekolah-sekolah Cina di Asia Tenggara. Berikutan dengan lawatan ini, sebuah sekolah Cina dibina di Nanking (pada tahun 1918) untuk melatih guru-guru yang berkhidmat di sekolah Cina di seberang laut. Bilangan sekolah Cina pun meningkat.

Pada Mei 1919, satu reformasi kebudayaan berlaku di Negara China. Ekoran ini, sekolah-sekolah Cina di Tanah Melayu mula menggunakan bahasa Mandarin yang juga telah menjadi bahasa pengantar rasmi di Negara China.

Dengan adanya bantuan kewangan, pengaruh politik parti nasional, iaitu Kuomintang, terus berkembang di sekolah-sekolah Cina.

Sementara itu, pentadbiran Inggeris menyedari bahaya pengaruh ideology kerajaan China terhadap kaum Cinadi sini. Pada tahun 1920, Enakmen Pendaftaran Sekolah diwujudkan. Tujuan utamanya untukmengawal perkembangan sekolah-sekolah Cina. Antara kandungan Enakmen Pendaftaran Sekolah:

  1. Pengarah pelajaran berkuasa untuk menutup sebarang sekolah yang tidak mematuhi peraturan berkaitan dengan kurikulum,pentadbiran dan keadaan kesihatan yang ditetapkan oleh pentadbiran British.
  2. Semua guru serta pentadbirannnya hendaklah didaftar dan diselia oleh pengarah pelajaran.
  3. Setelah didaftar di bawah enakman tersebut, sekolah-sekolah Cina itu akan diberi bantuan oleh kerajaan Inggeris. Sekolah-sekolah yang layak mendapatkan bantuan ialah yang menggunakan dialek tempatan sebagai bahasa pengantar. Sekolah yang menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantarnya dianggap sebagai agen kerajaan China.

Enakmen ini dipandang oleh masyarakat Cina sebagai sesuatu yang mencabuli hak asasi orang Cina dalam pengurusan sekolah. Dengan itu, masyarakat Cina membantah enakmen tersebut. Tetapi rancangan pendaftaran itu diteruskan juga oleh pentadbiran Inggeris. Berikutan tindakan tegas ini, hamper 315 buah sekolah dibatalkan pendaftrannya di antara tahun 1925 dan 1928.

Pada tahun 1929, tindakan-tindakan yang lebih ketat dikenakan ke atas sekolah Cina oleh Gabenor Cecil Clementi. Tindakan-tindakan yang keras itu termasuklah perlantikan guru sekolah Cina daripada kalangan orang tempatan iaitu mereka yang dilahirkan di Tanah Melayu, dan pengharaman buku teks yang mengandungi unsure anti- Inggeris.

Satu pindaan dibuat kepada enakmen tersebut pada tahun 1925, yang membolehkan pengarah pelajaran membatalkan pendaftaran seseorang guru yang aktivitinya dianggap subvertif. Kawalan terhadap sekolah-sekolah Cina nampaknya kurang berkesan. Pada tahun 1932, bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah Cina dihentikan disebabkan kemelesetan ekonomi. Bantuan kewangan disambung semula pada tahun 1935. Dasar pendtadbiran Inggeris seperti ini, secara langsung atau tidak langsung akan mewujudkan jurang pendidikan antara anak-anak Melayu dan Cina.

3.0     Sekolah Tamil

Sekolah-sekolah Tamil mula dibina di estet-estet kopi, kelapa, gula dan getah. Kebanyakan pekerja bertutur bahasa Tamil dan dengan itu, sekolah yang dibuka die stet menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantarnya. Pentadbiran Inggeris mewajibkan tuan punya estet untuk menyediakan sekolah Tamil. Ini juga merupakan dorongan bagi pekerja-pekerja India dating ke Negara ini.

Selain daripada majikan, sekolah Tamil juga dibina oleh mubaligh Kristian dan individu-individu yang berkemampuan. Pendidikan di sekolah Tamil juga terhad kepada peringkat dasar atau sekolah rendah. Kurikulum serta gurunya didatangkan dari India.

Sejak tahun 1902, kerajaan Inggeris mula member kemudahan untuk menubuhkan sekolah Tamil sama ada die stet atau di Bandar, khasnya untuk anak pekerja di Jabatan Kereta Api dan Kerja Raya.

Menjelang tahun 1920, jumlah murid sekolah Tamil di persekutuan adalah lebih kurang 4000 orang. Pada tahun 1925,Kod Buruh dikuatkuasakan dan setiap estet yang mempunyai 10 orang kanak-kanak dalam umur persekolahan diwajibkan untuk menyediakan sekolah dan guru bagi kanak-kanak itu. Kod buruh ini kelasnya dapat menambahkan lagi bilangan sekolah Tamil di estet.

Sedikit peruntukan wang tahunan juga diberikan kepada sekolah Tamil. Wang ini diberikan berdasarkan pencapaian murid dalam peperiksaan serta kehadiran mereka.

Agar sistem sekolah Tamil bertambah baik, seorang Nazir Sekolah tamil dilantik pada tahun 1930 untuk tujuan penyeliaan dan pengawasan. Jawatan tersebut dimansuhkan pada tahun 1932. Selepas itu, sekolah Tamil hanya bertujuan untukmembasmi buta huruf di kalangan kanak-kanak estet. Apabila ekonomi dunia pulih, kursus-kursus dalam perkhidmatan untuk melatih guru-guru sekolah Tamil dimulakan pada tahun 1936. Pada tahun 1938, Nazir Sekolah Tamil dilantik semula dan peruntukan wang bagi sekolah Tamil ditambah lagi

Dasar pemerintahan Inggeris terhadap sekolah Tamil terus menambahkan lagi jurang pendidikan antara tiga kaum utama di Negara kita iaitu Melayu, Cina dan India.

4.0  Sekolah Inggeris

Semasa penjajahan Inggeris, sekolah Inggeris terdiri daripada dua jenis, iaitu free school, yang mendapat bantuan daripada kerajaan, dan sekolah Inggeris separa bantuan, yang dimulakan oleh badan mubaligh Kristian dengan bantuan kewangan daripada kerajaan.

Free school dinamai sedemikian bukan kerana tidak dikenakan bayaran yuran, tetapi kerana ia terbuka kepada murid dari semua bangsa tanpa mengira kaum dan taraf sosioekonomi. Penang Free School merupakan free school yang ulung, dimulakan pada tahun 1816 atas inisiatif Rev. R. Hutchings. Mulai tahun 1891, sekolah tersebut mula menyediakann pendidikan sekolah menengah. Pada tahun 1920, sekolah tersebut diambil alih oleh kerajaan.

Pada tahun 1923, sebuah lagi free school ditubuhkan di Singapura. Sekolah ini dikenali sebagai Raffles dan ditukar namanya kepada Raffles Institution pada tahun 1863. Pada tahun 1826, sebuah lagi free school ditubuhkan di Melaka. Sekolah ini dikenali sebagai Malacca Free School; kemudiannya ditukar kepada Sekolah Tinggi Melaka. Sekolah ini merupakan sekolah Inggeris pertama yang menjadi sekolah kerajaan. Antara free school yang lain ialah Sekolah Victoria, Kuala Lumpur yang dimulakan pada tahun 1894 dan Sekolah King Edward VII, Taiping yang ditubuhkan pada tahun1906.

Golongan sekolah-sekolah separa bantuan lebih dikenali sebagai sekolah mubaligh. Sekolah-sekolah Inggeris ini ditubuhkan serta dibiayai oleh Persatuan Mubaligh London, Mubaligh Methodist, Gereja England dan Mubaligh Roman Katolik. Semua kanak-kanak, tanpa mengira bangsa atau agama, boleh memasuki sekolah mubaligh. Sekolah-sekolah ini bertujuan untuk menyediakan pendidikan am serta memperbaik akhlak mengikut ajaran agama Kristian.

Sekolah Inggeris hanya terdapat di Bandar. Walaupun permohonan dibuat untuk menubuhkan sekolah Inggeris di kawasan luar Bandar, ia ditolak kerana bertentangan dengan dasar pentadbiran Inggeris. Disebabkan orang Melayu terikat dengan undang-undang untukmenghantar anak-anak mereka ke sekolah Melayu, maka ramai orang Melayu tidak berpeluang memasuki sekolah Inggeris. Walau bagaimanapun, pada penghujung tahun 1930-an, melalui cara peperiksaan, pelajar-pelajar Melayu dipilih memasuki sekolah Melayu khas (special malay class) setelah tamat empat tahun pendidikan dasar Melayu. Selepas dua tahun dalam kelas Melayu khas, murid berkenaan dinaik ke tahun empat di sekolah dasar Inggeris. Walaupun begitu, hanya sebilangan kecil sahaja anak-anak Melayu yang dapat memasuki sekolah dasar Inggeris kerana terlebih umur dan juga kerana sekolah Inggeris terletak di Bandar. Lantaran itu, ramai murid Cina dan India berpeluang ke sekolah Inggeris. Lagipun, sekolah Melayu hanya menyediakan pendidikan dasar, manakala sekolah Inggeris dan Cina telah mula menyediakan pendidikan menengah.

Keadaan pendidikan di sekolah Melayu, sekolah Cina, sekolah Tamil dan sekolah Inggeris disengajakan oleh pentadbiran Inggeris untuk meneruskan dasar mentadbir secara pecah dan perintah. Dengan dasar tersebut, anak-anak Melayu dikekalkan di desa, manakal yang bukan Melayu ditadbir secara berasingan. Situasi seperti ini mewujudkan berbagai-bagai kesulitan dari segi sosioekonomi. Tambahan lagi, terdapat berbagai-bagai bantahan daripada kaum bukan Melayu apabila cubaan dibuat untuk menyatukan semua sekolah vernacular iaitu Melayu, Cina dan India.

Laporan Cheeseman

Laporan Cheeseman merupakan antara langkah yang diambil oleh pihak British untuk membina semula sistem pendidikan di Negara ini selepas pendudukan Jepun. Antara cadangan utama laporan tersebut ialah:

  1. Semua kanak-kanak tidak perlu membayar yuran jika mereka menghadiri sekolah vernacular di peringkat rendah.
  2. Semua pelajar di sekolah rendah berpeluang mempelajari bahasa Inggeris.
  3. Sekolah menengah terdiri daripada dua jenis sahaja.
  4. Pendidikan vokasional sepertimana yang termaktub dalam Laporan Pelajaran 1938 hendaklah dilaksanakan dengan sepenuhnya.

Tujuan laporan tersebut ialah untuk membina semula sistem pendidikan. Selain itu, ia juga berhasrat untuk mengembangkan setiap sistem persekolahan. Perpaduan kaum tidak disentuh langsung. Walau bagaimanapun, syor-syor Laporan Cheeseman tidak dilaksanakan kerana kerajaan sibuk membina semula sekolah yang telah musnah.

Laporan Barnes

Pada tahun 1949, Jawatankuasa Barnes ditubuhkan untuk menyatukan semua sekolah vernacular, iaitu sekolah Melayu, sekolah Cina dan sekolah Tamil. Laporan yang disediakan oleh jawatankuasa tersebut dikenali sebagai Laporan Barnes dan bertujuan untuk membubarkan sistem sekolah vernacular yang berasingan dan menggantikannya dengan sekolah kebangsaan bagi semua kaum. Sekolah tersebut menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya. Satu daripada bahasa tersebut akan digunakan sebagai bahasa kedua. Bahasa Cina dan bahasa Tamil akan terus diajar sebagai mata pelajaran sahaja di sekolah. Rasional yang digunakan untuk menukarkan bahasa pengantar kepada bahasa Inggeris dan bahasa Melayu ialah untuk mencapai perpaduan di kalangan kanak-kanak berbilang kaum. Cadangan-cadangan utama lain dalam Laporan Barnes termasuk:

  1. Pembinaan sekolah vokasional yang moden.
  2. Pembinaan maktab perguruan berasrama untuk pemegang Sijil Persekolahan.
  3. Penubuhan Jemaah Nazir Persekutuan.
  4. Penubuhan Penguasa Pelajaran Tempatan untuk mengembangkan pendidikan sekolah rendah.
  5. Di semua sekolah rendah kebangsaan, pendidikan adalah percuma bagi semua kanak-kanak dari Darjah 1 hingga Darjah 6. Sekolah kebangsaan tersebut ditanggung oleh kerajaan dan Lembaga Pelajaran Tempatan.
  6. Selepas sekolah rendah kebangsaan, murid-murid boleh melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah dan bahasa pengantarnya ialah bahasa Inggeris.
  7. Kurikulum hendaklah menekankan mata pelajaran seperti Sains, Seni Perusahaan dan Sains Rumah Tangga.

Laporan Fenn-Wu

Pada tahun 1951, dua penasihat dari Negara China telah dijemput untuk mengkaji pendidikan Cina di negara ini. Kedua-dua penasihat itu ialah Dr. W.P. Fenn dan Dr. Wu The Yau. Tujuan utama jawatankuasa tersebut ialah untuk merapatkan jurang antara sekolah Cina dengan sistem pendidikan yang bercorak perpaduan. Di samping itu, jawatankuasa tersebut juga member bimbingan tentang penyediaan buku-buku teks sekolah Cina yang seharusnya mengandungi unsure-unsur kehidupan di Taman Melayu. Hasil kajian Laporan Fenn-Wu adalah seperti berikut:

  1. Jika kaum Cina memilih untuk menguasai ketiga-tiga bahasa, iaitu bahasa Melayu, bahasa Cina dan bahasa Inggeris, amalan ini hendaklah digalakkan oleh kerajaan Inggeris.
  2. Di Persekutuan Tanah Melayu, sistem pendidikan hendaklah menghala kea rah matlamat membentuk identiti kebangsaan. Matlamat sekolah hendaklah menyediakan kanak-kanak supaya menempuh semua bidang kehidupan berlandaskan latar belakang kehidupan masyarakat mereka.
  3. Apa sahaja tindakan untuk memaksa rakyat berbilang kaum supaya mempelajari satu atau dua bahasa sahaja akan mengancam perpaduan kaum.
  4. Kekurangan guru terlatih bagi sekolah Cina.
  5. Penubuhan maktab perguruan untuk melatih guru sekolah Cina amat diperlukan. Maktab ini hendaklah menjalankan kursus-kursus dalam perkhidmatan di hujung minggu.
  6. Bantuan kewangan untuk sekolah Cina hendaklah ditambah.
  7. Buku-buku teks sekolah Cina, terutamanya dari Negara China atau Hong Kong hendaklah diselidiki dan dibaiki dengan dimasukkan unsur-unsur masyarakat tempatan.
  8. Pengajaran bahasa, iaitu bahasa Cina, bahasa Inggeris dan Melayu hendaklah diperbaiki.

Ordinan Pelajaran 1952

Apabila didapati pandangan-pandangan dalam Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu itu berlainan,kerajaan Inggeris kemudian menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas untuk mengkaji kedua-dua laporan tersebut. Jawatankuasa khas ini mengemukakan cadangan-cadangan berikut:

  1. Dua jenis sistem persekolahan hendaklah ditubuhkan, satu jenis sekolah yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan satu jenis sekolah lain menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
  2. Pelajaran bahasa Cina dan bahasa Tamil akan disediakan jika terdapat 15 orang murid yang ingin belajar bahasa ibunda mereka.
  3. Bahasa Melayu adalah wajib di sekolah Inggeris manakala bahasa Inggeris adalah wajib di sekolah Melayu.

Laporan Jawatankuasa Khas dibentangkan di Majlis Perundangan Persekutuan dan telah diluluskan pada bulan September dikuatkuasakan sebagai Ordinan Pelajaran 1952. Ordinan tersebut menetapkan sekolah kebangsaan sebagai sistem pendidikan di Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, cadangan-cadangan Ordinan Pelajaran 1952 tidak dapat dilaksanakan kerana masalah kewangan. Dengan itu, satu lagi jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengkaji bagaimana cadangan-cadangan itu boleh dilaksanakan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, boleh dikatakan bahawa antara tujuan utama di sebalik pendidikan semasa zaman penjajahan British ialah untuk:

  1. Memastikan penjajahan Inggeris berterusan.
  2. Mengekalkan eksplotasi ekonomi Negara ini.
  3. Memastikan bekalan tenaga kerja peringkat bawah untuk memenuhi keperluan British.
  4. Mengawal perkembangan semangat nasionalisme di kalangan penduduk tempatan.

Dengan dasar terbuka dan tidak campur tangan British, maka telah wujud lima jenis sistem persekolahan iaitu sekolah agama, sekolah Melayu, sekolah Cina, sekolah Tamil dan sekolah Inggeris. Sistem pelbagai ini menjejaskan perpaduan kaum.

SISTEM PENDIDIKAN SELEPAS ZAMAN BRITISH

Apabila Negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, sistem pendidikan turut berubah. Tujuan perubahan ini dilakukan adalah untuk melaksanakan pendemokrasian pendidikan. Peluang pendidikan diwujudkan untuk kanak-kanak yang telah mencapai umur tujuh tahun. Hasrat ini dapat direalisasikan dengan adanya Ordinan Pelajaran 1957. Sistem ini member jaminan bahawa kanak-kanak berhak mendapat pendidikan sekurang-kurangnya dalam tempoh enam tahun. Dengan itu, jelaslah kerajaan mengakui pendidikan sebagai satu hak asasi bagi semua penduduk Negara kita. Namun begitu, pelajar masih lagi dikehendaki membayar yuran persekolahan. Ini bermakna masih ada lagi kanak-kanak yang tidak berpeluang ke sekolah disebabkan kemiskinan.

Pelaksanaan Laporan-laporan Pendidikan

Sistem pendidikan yang diwarisi dari pihak British jelas tidak menggalakkan perpaduan kaum. Oleh yang demikian, tugas kerajaan di peringkat awal kemerdekaan ialah untuk mewujudkan satu sistem pendidikan tunggal yang boleh menyatukan semua sistem persekolahan yang berbeza-beza.

Penyata Barnes dan Penyata Fenn-Wu merupakan dua penyata utama peringkat awal, yang mengemukakan syor-syor kea rah mewujudkan satu sistem pendidikan kebangsaan disatukan. Penyata Barnes mengesyorkan agar semua sekolah vernacular dimansuhkan dan digantikan dengan sekolah kebangsaan bagi semua kaum. Bahasa Melayu atau bahasa Inggeris akan digunakan. Satu daripada bahasa tersebut dijadikan bahasa kedua. Bahasa Cina dan bahasa Tamil akan terus diajar sebagai satu mata pelajaran sahaja. Sebaliknya, Penyata Fenn-Wu mengesyorkan supaya tiga bahasa, iaitu bahasa Melayu, Cina dan Inggeris digunakan di sekolah-sekolah. Satu lagi jawatankuasa ditubuhkan untuk mengkaji syor-syor yang berlainan itu. Kemudian, Ordinan Pelajaran 1952 yang telah mengambil kira syor-syor dalam Penyata Barnes dan Fenn-Wu telah diluluskan. Konsep sekolah kebangsaan diterima, satu jenis yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan satu lagi bahasa Inggeris.

Pada tahun 1955, Parti Perikatan telah mencapai kemenangan yang mengagumkan dalam pilihan raya. Secocok dengan janjinya untuk mewujudkan satu sistem pelajaran yang sama bagi semua penduduk, sebuah Jawatankuasa Pelajaran 1956 yang diketuai oleh Tun Abdul Razak telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini menghasilkan Penyata Razak 1956.

Penyata Razak

Penyata ini menekankan perpaduan kaum dan penghasilan tenaga kerja. Penyata Razak ini telah diterima oleh Majlis Perundangan Persekutuan dan disahkan Ordinan Pelajaran Tahunan 1957. Tujuan utama Penyata Razak adalah seperti berikut:

  1. Menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
  2. Untuk memenuhi keperluan Negara yang merdeka dan mengembangkan sistem pendidikan.
  3. Untuk melahirkan perpaduan antara kaum sebagai satu rumpun bangsa Tanah Melayu.
  4. Untuk merapatkan jurang perbezaan antara kaum di Tanah Melayu.
  5. Untuk mewujudkan satu sistem pengurusan pendidikan yang lebih cekap dan berkesan.
  6. Untuk menyediakan kemudahan pelajaran yang mencukupi.
  7. Untuk mewujudkan masyarakat yang berdisiplin, terlatih, bertoleransi, liberal dan progresif.

Kesan-kesan Pelaksanaan Syor-syor Penyata Razak adalah seperti berikut:

  1. Tertubuhnya Kementerian Pelajaran untuk melaksanankan sistem pentadbiran pendidikan secara berpusat.
  2. Penggunaan kurikulum dan gerak kerja kokurikulum yang seragam di semua sekolah di Negara ini.
  3. Aliran persekolahan dipelbagaikan untuk memenuhi keperluan Negara dan dengan itu wujudlah aliran akademik, aliran teknik dan aliran vokasional.
  4. Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama manakala bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi yang kedua.
  5. Wujudnya peluang pelajaran yang lebih luas bagi pelajar-pelajar sekolah kebangsaan hingga ke pusat pengajian tinggi.
  6. Wujudnya satu jenis sekolah menengah, iaitu sekolah menengah kebangsaan bagi semua pelajar.
  7. Wujudnya peperiksaan awam yang sama iaitu peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran dan Sijil Persekutuan Tanah Melayu untuk semua calon sekolah menengah.
  8. Tertubuhnya Jemaah Nazir Bebas untuk menjamin mutu pelajaran yang tinggi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: